Thursday, December 8, 2011

PEMENTASAN TEATER 1 PLASTIK HITAM DI STOR DEWAN BAHASA & PUSTAKA (DBP), PADA 7 HINGGA 11 DISEMBER 2011



Setelah kejayaan pementasan teater Juta Juta dan teater Juta Juta Ke Putrajaya, MASK Team kini kembali dengan naskah bertajuk 1 Plastik Hitam pada 7 hingga 11 Disember 2011 di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka.
 
            Teater yang dipersembahkan dalam konsep ‘reality show’ di dalam rancangan RUPA - Bukan Sekadar Bakat ini setanding dengan konsep rancangan realiti yang lain seperti Akademi Fantasia, Mentor, Anak Wayang dan Pilih Kasih. Pelakon-pelakon akan menjadi peserta yang akan bertanding untuk kekal ke minggu seterusnya sementara penonton akan mengundi peserta yang akan tersingkir dari meneruskan perjuangan ke pementasan seterusnya.


            1 Plastik Hitam mengisahkan sebuah beg plastik hitam yang ditinggalkan oleh seorang Perempuan Purdah di sebuah taman awam. Perempuan Purdah tersebut meminta jasa baik seorang Budak Permpuan Beruniform Sekolah yang sedang duduk di sebuah bangku menjaga plastik hitam tersebut sementara beliau pulang mengambil sesuatu yang tertinggal. Sebelum itu, Budak Perempuan Beruniform Sekolah juga telah diminta oleh Busker untuk ‘menengok-nengokkan’ keadaan taman tersebut. Kemudian, taman tersebut didatangi pula Lelaki Perkasa dan Graduan Muflis. Kehadiran mereka berdua mencetuskan pertengkaran antara mereka berdua dan Budak Perempuan Berpakaian Sekolah mengenai kewujudan beg plastik hitam tersebut. Lelaki Perkasa dan Graduan Muflis berasa curiga dengan isi kandungan plastik hitam itu dan ingin membukanya. Apakah hasrat mereka? Apa jenis tentangan serta pergelutan di antara Lelaki Perkasa dengan Graduan Muflis? Dan apa kesudahannya?

            Syahrul Fithri Musa yang bertindak sebagai penulis dan pengarah teater 1 Plastik Hitam adalah pensyarah Program Teater dan pensyarah di Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, UiTM.  Berpendidikan Sarjana dalam jurusan teater di Universiti Sains Malaysia selepas tamat pengajian diperingkat Ijazah Pertama di Universiti Malaya dan Diploma di Institut Teknologi Seni Malaysia, juga dalam jurusan yang sama. Pernah terlibat dalam projek seni persembahan di peringkat antarabangsa seperti di Indonesia, Singapura dan mewakili negara dalam Asean Youth Camp, Yangon 2001 dan Future –Oriented Cooperation Project Seoul 2005. Teater-teater yang pernah beliau terlibat sama ada sebagai pengarah, pelakon atau penulis skrip adalah seperti Tingginya Menyapu Awan, Meja Bulat, Jangan Bunuh Diri, Kursi, Catan Buat Zuriat, Seribu Peluru Untuk Aku, Hari Ini Jam 12 Datang Lewat Dari Waktunya, Obsesi, Teater Eksperimental Rabak X, Orang Baik, Merdeka! Merdeka! Merdeka!, Root and Earth, Ronggeng Rokiah, Tunku Kudin,  Jerejak, Pentas Opera, Gugurnya Kopiah Putih, dan Isteriku Tiada Susu. Juga terlibat dalam produksi drama, iklan dan filem fiksyen seperti Wayang dan Senario Asam Garam. Terbaru, beliau baru saja selesai menerbitkan dan mengarah filem pendek pertama dengan kerjasama FINAS iaitu Epal Hijau Di Luar Pagar.

            Teater berdurasi 1 jam 15 minit membariskan 5 anak muda berpengalaman seperti Karl Shafek, Ameera Ramli, Fasyali Fadzly, Anas Ridzuan dan Fazleena Hishamuddin. Pas masuk boleh didapati dengan harga RM20 pada hari persembahan dan juga boleh ditempah dengan menghubungi Hilal Azmi di talian 019 357 2093.

Makluman lanjut boleh didapati di laman Facebook dengan carian 1 Plastik Hitam atau di Twitter dengan carian hashtag #1PlastikHitam.

Sila layari youtube.com : http://www.youtube.com/watch?v=g6PDz8sNJXs untuk video promo



Biodata Para Pelakon:

KARL SHAFEK – GRADUAN MUFLIS

Berusia 31 tahun, Karl Shafek merupakan seorang pengacara TV, pelakon dan penulis pelancongan yang sedang bersinar di persada hiburan tanahair. Mula berkhidmat sebagai wartawan penyiaran di tv9 untuk rancangan bual bicara pagi Nasi Lemak Kopi O dan menjadi hos untuk segmen Gizmos yang merupakan segmen kecil mingguan dalam rancangan tersebut. Dari rancangan berbentuk majalah, Shafek tidak memandang belakang lagi dan mula mengendalikan rancangan berbentuk hiburan di tv9 iaitu 'Chopp!!' ( 2009 - 2011 ) dan dia juga tunjang untuk rancangan berita hiburan 'Hip TV' sejak Januari 2011. Karl Shafek juga terkenal sebagai pengacara majlis-majlis rasmi serta hos rancangan travelog di mana rancangan-rancangan kendaliannya seperti Jelajah Ramadan ( Oktober 2009 ), 3 Hari 2 Malam ( Januari - April 2011 ) dan Cabaran Raja Tarik F&N ( April - June 2011 ) turut mendapat sambutan menggalakkan. 

Dunia lakonan juga memberi makna yang mendalam untuk Karl Shafek kerana minat yang menebal dan cabaran daripada seorang rakan setelah beberapa tahun terlibat dalam bidang  pengiklanan sebagai model iklan komersial. Dia mula berlakon pada tahun 2009 dalam telefilem 'Anak Aku Artis' seterusnya mewarnai beberapa lagi telemovie dan siri televisyen antaranya Boona Boonie, Aalia, Hotel Mania, Cinta Otai dan Dewi Kasihku. Pada pertengahan tahun hadapan, figura ini akan muncul sebagai adik dan pengurus kepada penyanyi lagenda negara Zaiton Sameon dalam filem "Zaiton Ceritaku'. Kini usaha dan minat anak muda ini terus berkembang ke bidang persembahan pentas pula apabila buat pertama kalinya dia meyertai teater 1 Plastik Hitam sebagai Graduan Muflis.
NUR AMEERA BT MOHD RAMLI – PEREMPUAN BERPURDAH

Gadis berusia 23 tahun yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini mula melanjutkan pelajaran dalam bidang lakonan di UiTM pada tahun 2004 dalam jurusan Diploma Seni Persembahan (Seni Lakon) sebelum melanjutkan pelajaran ke Jabatan Drama Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Muda (Pengarahan).

            Sikap ramah dan mudah didekati beliau menyebabkan beliau banyak mendapat tawaran untuk berlakon dalam short film oleh para pelajar kursus skrin semasa di UiTM, walaupun beliau merupakan seorang pelajar teater. Bermula dengan teater SELENDANG JIWA, beliau kemudiannya terlibat dalam teater ALANG RENTAK SERIBU arahan Azhan Abd Rani sebagai pelakon dan teater MUZIKAL RAM, juga sebagai pelakon sebelum menyertai Festival Teater Selangor 2006 bersama THE ART STAGE CLUB (A.S.C) melalui teater AYAM JANTAN AYAM BETINA dan WAJAH LUMPUR sebagai WATI. Melalui watak WATI, beliau telah memenangi anugerah PELAKON WANITA TERBAIK bagi  Festival Teater Selangor 2007 dan Festival Teater Kebangsaan 2008.

ANAS RIDZUAN - BUSKER

Anas Ridzuan merupakan pemegang Diploma Seni Lakon Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan masih menuntut dalam Ijazah Sarjana Muda Pengarahan (teater) di Universiti yang sama. Pemuda berusia 22 tahun dari Ipoh ini banyak melibatkan diri dalam teater dan nyanyian. Antara teater lakonan beliau ialah Oedipus arahan Fasyali Fadly, Asy-Syura Arahan Aminah Rhapor, Hello nama saya… arahan Norzizi Zulkifli terbaru Teater Juta-Juta arahan Fasyali Fadly. Selain itu, beliau juga pernah mengarah beberapa teater seperti Merdeka,Murdeka,Mirdeka ,Tun Razak:satu pengkisahan dan Seorang Majisterit Muda. Beliau juga terlibat dalam beberapa produksi filem pendek dan aktif dalam bidang nyanyian sekitar Kuala Lumpur.

 FASYALI FADZLY – LELAKI PERKASA

Fasyali Fadzly bin Saipul Bahri merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teater dari UiTM. Beliau telah terlibat dalam banyak aktiviti kesenian pentas selama lebih kurang lapan tahun sejak. Bermula dengan lakonan secara kecil-kecilan dalam Kelab Teater Rimba, UKM beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke UiTM dan belajar secara formal mengenai teater. Pernah mengarah dan menulis beberapa buah teater termasuk Berani Mati (2009), Reban Ayam Itik (2009), Kotak Hitam (2011) dan Teater Juta-Juta (2011). Beliau turut terlibat dalam beberapa produksi filem pendek. Filem pendek tulisan beliau Skodeng: Kebenaran Yang Nakal (2010) memenangi Skrip Terbaik dalam pertandingan Kuala Lumpur 48 Hour Film Project dan mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa di Miami, US. 

 FAZLEENA HISHAMUDDIN – BUDAK PEREMPUAN BERUNIFORM SEKOLAH

Fazleena Hishamuddin dikenali sebagai 'indie queen' dikalangan rakan-rakan dan penggiat seni indipendent Malaysia. 8 tahun bergelumang dalam dunia seni indie tidak pernah sekali pun mematahkan semangat beliau untuk terus berkarya. Hampir 30 persembahan pentas (teater) yang pernah dilakonkan sejak zaman sekolah. Beliau juga muncul sebagai pelakon dalam berpuluh-puluh filem pendek dan beberapa indie feature film. Aktif juga dibelakang tabir produksi sebagai pengarah, pengarah produksi dan penulis skrip. Pemegang sarjana psikologi kaunseling ini juga terlibat dalam pengurusan acara, pengacaraan dan penerbitan. Beliau berharap satu hari nanti,  scene indie dapat menikmati persekitaran dan aura yang sama seperti dunia hiburan mainstream

Aloy Paradoks

Syahrul Fithri Musa
Jangan lupa tempah tiket cepat-cepat na....~


2 comments:

efa said...

owh teater ni la yang broframestone bgtau tu huhu

Muhammadnuraizuddin said...

efa - owh, yeke... ihhihi.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...